Saya menulis dari Seri Malaysia Temerloh kerana sedang menjalankan kursus buat guru-guru ICTL daerah Kuantan. Tadi pagi saya sudah kembali ke sekolah menyerahkan semua markah untuk peperiksaan pertengahan tahun. Yang mana kelas yang sempat saya masuk, 4 Syumul dan 5 Syumul saya sudah mengembalikan kertas peperiksaan masing-masing. Sebagai kerja buat mereka sepanjang ketiadaan saya sehingga hari Khamis ini ialah menyiapkan pembetulan semua soalan yang salah dalam 3 salinan. Ramai yang mengeluh. Tapi saya rasionalkan kepada pelajar saya, matlamat cikgu bukan seperti dendaan semasa sekolah rendah dulu, tulis "saya akan rajin belajar sebanyak 100 kali". Tapi untuk mengingatkan "jalan kerja" untuk setiap soalan yang di jawab. Kerana saya dapati pelajar saya tidak pernah membuat persediaan yang cukup dengan latihan. Dari skrip jawapan mereka saya tahu mereka tidak mengulangkaji sepenuhnya. Inilah sedikit usaha yang saya cuba agar anak didik saya berjaya di samping tunjuk ajar yang tak berbelah bagi semasa mengajar di dalam kelas.
Kemudian sebelum balik sekolah, saya mengisi borang option pencen. Berapa umur saya nak pencen...? Segala persoalan mula bermain di fikiran, apa matlamat saya bekerja? Untuk apa saya bekerja dan apa akan terjadi bila sudah habis kerja? Oh tidak, rasanya saya ambil jalan tengah 56 is enough, by that time you can still change to 55, but 58 is too long...
Namun peristiwa malam terakhir bercuti masih mengigaui fikiran saya. Pada malam terakhir saya di kampung, saya bersama Bonda. Malam itu terasa sunyi. Tiada keriuhan suara anak-anak. Kesempatan yang ada suami saya membawa anak-anak ke Stadium Sultan Mizan untuk menyaksikan olahraga sukan SUKMA yang sedang berlangsung. Saya cuma melayan kerenah Muhammad Said yang keseorangan kerana ketiadaan kakak dan abangnya. Suara Bonda memecah kesunyian malam, “Dah, dalam almari umi ada duit RM2000. Umi letak dalam sampul surat. Kalau umi mati duit tu gunalah untuk urusan pengkebumian. Dalam almari itu ada juga kain batik lepas dan telekung. Kalau apa-apa terjadi pada umi, tak susah orang nak buat persediaan. Arwah Nyang Ku Haji dan Nyang Ki Su selalu pesan suruh sedia awal.”.
Saya terus terkedu dan sebak. Tidak saya sangka sampai ke tahap itu persediaan yang telah Bonda buat. Bonda dan Ayahnda amat tabah dalam membesarkan kami lapan beradik. Seingat saya, walau susah mana beliau tak pernah merungut dan mengeluh atau mengadu. Saya pula yang kadang rasa bersalah kerana semua kami adik beradik tinggal berjauhan. Apa yang dapat saya beri buat Bonda hanya secebis doa, Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, berkatilah hidup mereka seperti mana mereka telah menjaga dan membesarkan kami sejak dari kecil lagi....
Amanat Bonda
Posted by
cikgu sharifah
Monday, June 9, 2008
Labels: Bercuti
0 comments:
Post a Comment