Kuala Lumpur, 1 Jun - HALUAN bersama NGO-NGO prihatin terhadap Masjidil Aqsa dan pembebasan Palestin telah berkumpul di surau Tabung Haji pada sekitar jam 10 pagi pada 1 jun 2010 bagi menjayakan Demonstrasi Penyerahan Memorandum Bantahan Kekejaman Israel anjuran CMT (Crisis Management Team) LL4G. Demonstrasi ini juga adalah merupakan isyarat jelas bantahan gabungan NGO terhadap sikap biadap Israel yang telah menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010 yang telah menyebabkan 9 orang aktivis terkorban dan puluhan cedera. Seramai 10 orang aktivis dari Malaysia termasuk 5 orang dari HALUANPalerstin dan 2 orang wakil media dari Astro Awani berada dalam kapal Marvi Marmara yang diserang oleh komando Israel.
Sekitar jam 10.45 pagi, ketua-ketua NGO berkumpul di surau Tabung Haji untuk taklimat dan penyelarasan demonstrasi. Pengerusi CMT, Zulkifli Nani dari Muslim Care, telah memberikan taklimat ringkas. Ramai kepimpinan HALUAN telah turut serta, antaranya Haji Solehuddin Shuib (Pemangku Pengerusi Sekretariat HALUAN Palestin), Sdr Shakir Sabaruddin (Setiausaha Kerja HALUANsiswa), Haji Abdullah Saidi Hassan (Naib Pengerusi Jawatankuasa Khas HALUAN-LL4G), Tuan Haji Ibrahim Abdul Rahman (Exco HALUAN Pusat), Tuan Haji Ahmad Shah (HALUAN Selangor dan beberapa wakil dari HALUANita. Sebelum bergerak, bacaan doa telah dibacakan agar majlis berjalan dengan baik dan mendapat keberkatan Allah swt. Walaupun berdemonstrasi namun keterikatan dan hubungan hati dengan Allah perlu berjalan. Demonstrasi bermula dengan penegasan Demontrasi Aman oleh Zulkifli dan taklimat pergerakan oleh Sdr Shakir yang menerangkan displin dan adab demonstrasi.
Peserta-peserta demo yang berjumlah hampir 300 orang kesemuanya bergerak ke kedutaan Amerika Syarikat pada sekitar jam 11 pagi dengan pelbagai slogan perjuangan pembebasan Palestin/ Masjidil Aqsa, mengutuk kekejaman Israel dan memusnahkan tembok kematian. Demo berjalan lancar dan mendapat kerjasama erat dari pihak berkuasa polis yang mengawal keselamatan lalu lintas.
Para peserta demonstrasi CMT Life Line For Gaza meneruskan teriakan slogan perjuangan di luar kedutaan USA dengan mengambil tempat di sebelah kiri pintu kedutaan. Saudara Zulkifli Nani telah menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai-pegawai kedutaan Amerika dan memberikan penjelasan kepada mereka.
Setelah memorandum bantahan diterima oleh pegawai kedutaan Amerika, Zulkifli telah membacakan isi memorandum tersebut melalui pembesar suara di hadapan khalayak.
Sekitar jam hampir 12 tengah hari, para peserta demo bergerak kembali ke bangunan Tabung Haji. Di sana sesi tazkirah dan ucapan ringkas diadakan dan dipengerusikan oleh SU CMT LL4G Haji Solehuddin Shuib. Tazkirah ringkas telah disampaikan olah wakil HALUAN, Haji Abdullah Saidi Hassan dan wakil Aqsa Sharif, Ustaz Wan Subki.
SUMBER : http://www.haluan.org.my/
0 comments:
Post a Comment