Hidup Untuk Memberi...

Hayah hidup ini hanyalah sekadar sekelip mata berbanding dengan kehidupan di yaummul akhirah. Lantaran apalah kiranya kita memberi walaupun hanya sekadar sekelumit.

Day 24 : Tazkirah Ramadhan

Puasa ini menghiasai orang-orang yang berpuasa dengan satu kemuliaan. Kemuliaan itu adalah sifat sabar, sifat ini merupakan sifat yang sangat penting kepada para dai' dan para pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada Allah. Sifat sabar ini mampu menolong mereka melintasi segala halangan dan meneruskan perjalanan mereka di sepanjang jalan tanpa merasa lesu dan mundur.


Firman Allah swt yang bermaksud, "Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang sabar."


(Surah Ali-Imran : 146)


Jelas di ayat ini bahawa orang Muslim tidak dapat digoda oleh pujuk rayu serta tidak dapat diancam dengna azab dan hentaman serta sebarang ancaman dan tidak boleh dikotak-katikkan.

(petikan dari... Bekalan Di dalam Perjalanan Dakwah,MM)

Day 23 : Tazkirah Ramadhan

Di dalam ibadah puasa ada mujahadah. Perjuangan memerangi keinginan hawa nafsu dan keselesaana tubuh badan, oleh itu ini memerlukan suatu keazaman yang kuat di dalam diri muslim. Ini adalah merupakan bekalan yang penting bagi sahibuddakwah dan mujahidin fi sabilillah. Orang yang berpuasa menahan dorongan nafsu dan syahwatnya dari yang halal setiap hari sepanjang bulan Ramadhan, Yang demikian ini menolong dia menahan dirinya dari yang haram sepanjang hidup di segala tempat dan suasana.

(petikan dari... Bekalan Di dalam Perjalanan Dakwah,MM)

Day 22 : Tazkirah Ramadhan

Puasa menyuburkan sifat ikhlas kepada Allah semata-mata, menyintai Allah sebaik-baiknya kerana sesungguhnya puasa itu adalah rahsia di antara hanba dan Tuhannya. Ikhlas kerana Allah adalah sebesar-besar bekalan dan semestinya ada di dalam tiap-tiap diri muslimin di sepanjang jalan dakwah. Segala amalan yang tidak ikhlas kerana Allah semata-mata tidak akan mendapat sebarang pembalasan dari Allah. Oleh itu, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dari segala sekutu dan kongsi oleh itu Dia tidak akan menerima sesuatu amal pun kecuali yang dibuat secara ikhlas semata-mata keranaNya.

(petikan dari... Bekalan Di dalam Perjalanan Dakwah, MM)

Iftar Ramadhan

Begitu cepat masa berlalu, tibalah kepada 10 terakhir Ramadhan. Malam-malam terakhir yang ditunggu-tunggu oleh sahabat-sahabat Rasulullah saw. Kerinduan yang selama ini dinanti-nantikan saat terakhir Ramadhan. Kerana apa yang dicari ialah keredaan dan keampunan Allah swt. Mampukah kita untuk menjadi seperti mereka, merintih pada sepertiga malam dengan beribadah dan bertaqarud, menghidupkan malam yang disaat semua orang lena untuk bermujahadah dan mencari lailatulqadar. Namun, semua tidak menjadi mustahil. Kita mampu laksana dengan sedikit kekuatan, kesungguhan dan keazaman, insya’Allah.

Puasa bagi saya bukan sahaja bersama keluarga – suami dan anak-anak, (walaupun sepanjang Ramadhan ini tak berkesempatan lagi berbuka bersama Ayahanda dan Bonda – maafkan anakanda, kerana mungkin tidak sekerap dulu untuk pulang berbuka bersama dek batasan jarak dan waktu) tapi juga dikongsi bersama dengan rakan dan sahabat yang lain. Suasana berbuka secara jamae’ dapat mengeratkan silaturahim dan memberi kekuatan serta ketenangan. Sahabat ibarat bintang-bintang di langit. Itulah ungkapan yang diberi kepada sahabat-sahabat Rasulullah saw. Suasana suatu masa dulu, di tengah padang pasir, yang menjadi panduan musafir ialah bintang di langit sebagai penunjuk arah. Begitu besar juga rakan sahabat yang menjadi petunjuk dan cermin bagi yang ingin mencari keredhaan Allah swt.

Maka di kesempatan Ramadhan ini pada setiap hujung minggu saya berkesempatan beriftar dan bertarawih bersama rakan sahabat.

Sabtu 6 Ramadhan 1429H
Hujung minggu pertama Ramadhan, saya berpeluang bersama ahli Haluan Pahang sekitar Kuantan beriftar dan bertarawih di Sekolah Rendah Ibnu ‘Abbas. Program bermula seawal 5.30 petang dengan Ijtima’ Am dari Cikgu Din membicarakan tentang Taubat tulisan Professor Dr Yusuf Al Qardawi. Antara yang dapat saya garap dari penyampaiannya, memperbaharui taubat kita sepanjang masa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Rasulullah saw bertaubat 70X sehari, sedangkan baginda seorang yang maksum. Rasulullah saw bangun malam dan beribadah sehingga bengkak kaki, sedangkan baginda dijamin syurga oleh Allah swt. Maka apatah lagi kita yang sentiasa berperang dengan dosa sendiri. Perbanyakkan taubat kerana disaat Allah swt menjemput kita, waktu itu sudah terlambat bagi kita untuk bertaubat

Ini wajah Nazirah, begitu sabar. Pengalaman pertamanya berbuka beramai-ramai kerana pada tahun-tahun sebelum ni dia masih belum berpuasa.
”Umi kita buka apa?” ,tanyanya dengan nada lesu.

”Kurma dan air masak dahulu.” , jawab saya dengan ringkas.
”Itu aje?”, soalnya lagi.
”Ye, kemudian solat Maghrib, lepas tu baru makan nasi”, terang saya sambil memberi semangat kepadanya.
Alhamdulillah dia mampu akur. Solat terawih je 4 rakaat saja buat masa ini katanya, ” Irah penatlah umi...”. Tak pa itu pun satu tarbiyah buat anakku yang disayangi.

Ini Sakinah dengan rakan-rakan menunggu untuk berbuka.
Waktu berbuka dengan rakan-rakannya. Next year all of you will miss this last Ramadhan as students at SeRIA.
Sabtu 13 Ramadhan 1429H
Saya berkongsi juadah berbuka dengan makcik-makcik halaqat saya dari Permatang Badak. Sebenarnya, halaqat kami ditangguhkan sepanjang Ramadhan (atas permintaan mereka...) Maka bagi mengubat kerinduan kerana tidak mendengar celoteh mereka, saya telah menghantar sedikit juadah pemanis untuk berbuka di setiap rumah mereka. Masa ini suami tersayang diarahkan menjadi pemandu saya. Maka dapatlah dia kenal ke rumah-rumah yang saya pergi saban hujung minggu. Rumah terakhir, Mak De, saya ambil alamat untuk di beri sumbangan Ramadhan. Bila semak IC, Halimah bt Said, 351128-03-5312, dan Pak De pula, Mat Ail@Ismail bin Awang, 291128-03-5281. Saya membuat analisa sendiri, tarikh dan bulan tu sama je... mungkin orang tua mana nak ingat dah tarikh lahir sendiri. Tapi bila kira-kira tahun, Mak De, 73 tahun dan Pak De, 79 tahun. Mereka berdua aje di pondok usang di hujung Kg Chendering. Tak boleh bayang disaat penghujung usia mereka tinggal berdua sahaja. Mak De masih gagah, dalam usia itu beliau masih mampu berjalan kaki, kalau tak ada orang menumpang, untuk ke halaqat di rumah-rumah yang terletak di Kg Permatang Badak atau ke Surau Lama untuk mendengar Ijtima’ Am Cikgu Din setiap pagi Selasa. Kegigihan makcik tua ini untuk mengisi baki hidupnya mencari hidayah Allah, menginsafkan saya. Betapa kita mewah dengan kenderaan dan masih diberi kudrat untuk ke sana dan ke sini, tapi adakah kita bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah...

Ahad 14 Ramadhan 1429H
Hujung minggu kedua Ramadhan, ahli-ahli Haluan bersama pendakwah dan penulis terkenal dari seberang Bapak Cahayadi Takriawan. Antara buku nya Siri Keakhawatan dan Memori Cinta di Jalan dakwah. Sekarang ini Bapak Cahayadi menjawat sebagai Direktor dan Kaunselor Jogja Family Centre (JFC) dan Ketua Pendakwah PKS ke Sulawesi. Beliau sebenarnya dalam rangka menziarahi pelajar-pelajar Indonesia yang belajar di universiti di sekitar Kuala Lumpur dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Di atas kesempatan itu pihak Haluan menjemput beliau untuk berkongsi pengalaman dakwahnya yang luas walau pun usianya baru pertengahan 40an. Kami sekeluarga tiba awal di SeRIA kerana jangkaan program bermula 2.30 petang. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, jam 4.00 petang baru mula. Namun penantian satu setengah jam tak terasa. Kesempatan saya membaca Al-Quran dan bermukhalatoh dengan sahabat-sahabat Haluan yang jauh datang dari Temerloh dan Jengka yang turut hadir untuk mendengar ceramah Bapak Cahayadi.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran. Dalam slot pertama Bapak Cahyadi berceramah tentang komunikasi dalam kekeluargaan. Pengalaman sebagai Kaunselor di Jogja Family Centre(JFC) menampakkan kematangan beliau bila membincangkan soal rumah tangga sebagai dakwah. “Kunci kebaikan rumah tangga adalah bila adanya komunikasi antara ahli-ahli anggota keluarga”, begitulah Bapak Cahyadi memulakan bicaranya. Saya amat tersentuh dalam setiap patah yang diwacanakannya. Cuma terdetik di hati ini alangkah seronoknya kalau dapat mendengarnya 16 tahun dulu, disaat-saat membina mahligai kasih rumah tangga, ketika mula untuk mengenal hati budi antara seorang isteri dengan seorang suami. Kerana tidak semua suami dapat berceloteh, berkongsi rasa hati dan mempamirkan kasih sayang in words walau pun kita tahu seorang suami amat menyayangi isterinya. Bukan bermakna kini saya tidak bersyukur. Malahan saya amat berterima kasih kepada zauj saya kerana cukup mengajar saya erti sebuah ketabahan dan mempunyai hati yang kental untuk berhadapan dengan ujian dan cubaan dari Allah dalam sebuah rumah tangga dakwah yang telah kami layari bersama ini. Sebenarnya hari ini saya pulang dengan satu rasa hati baru untuk terus gigih menghadapi apa ujian yang mendatang.
Slot ke dua pula Bapak Cahyadi berkongsi pengalaman sebagai pendakwah. Katanya, “Dakwah dilaksanakan bukan semata-mata tanggungjawab yang diwajibkan oleh Allah swt tetapi lebih dari itu. Dakwah ialah satu jalan yang membawa kita kepada kejayaan.” Begitu indahnya dakwah dimana beliau mampu menetapkan visi hidup dalam keluarganya dengan menjadikan rumah tangga sebagai sarana untuk membangunkan sebuah peradaban masa depan. Juga satu misinya selaku Ketua Pendakwah PKS, tidak ada satu rumah pun di Indonesia yang mana penghuninya tidak dikunjungi oleh pendakwah PKS. Aduh-aduh, kegigihan dan kesungguhan dakwah seperti ini yang masih tidak tampak dikalangan kita hari ini. Dimana silapnya… tepuk dada tanya iman.
Slot tambahan, dari Bapak Anuar, salah seorang pelajar Indonesia di UMP. Beliau memperkenalkan IKMI – Ikatan Keluarga Muslim Indonesia. Satu lagi kegiatan dakwah mereka mendekati pekerja-pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia tak kira sama ada pekerja ladang, buruh atau pembantu rumah. Yang positif dapat saya lihat, jika matlamat hidup jelas, syu’ur dakwah itu akan terpancar dan cuba dikongsi bersama dengan orang lain…
Selasa 16 Ramadhan 1429H


Sedang elok bila saya tiba dirumah 6.15 petang, suami dan anak-anak sudah bersiap untuk berbuka puasa di D’Rhu Resort. Sebenarnya saya baru tiba setelah perjalanan jauh dari Kuala Lumpur kerana menghadiri taklimat mengejut di Putrajaya. Maka sempatlah saya bersama keluarga menghadiri jamuan berbuka puasa tersebut yang disponsor oleh kontraktor kepada pekerja dan keluarga kakitangan Polyplastic. Sudah tentu suasana berbuka dalam keadaan berbeza, makanan yang agak mewah dan kurang kerohanian. Namun siapa yang harus berdakwah kepada mereka kalau bukan kita…
Jumaat 19 Ramadhan 1429H
Saya dan anak-anak berbuka di kantin sekolah bersama guru, staf dan pelajar-pelajar SMK Paya Besar.
Sebelum itu telah diadakan Majlis Khatam Quran .
Antara pelajar yang hadir. Sempat ambil gambar beberapa keping aje kerana hp habis bateri lupa nak cas...
Sabtu 20 Ramadhan 1429H
Majlis Berbuka di SeRIA hari ini anjuran PIBG SeRIA dan Haluan Pahang. Seperti biasa, majlis dimulakan dengan Ijtima’ Am di mana kali ini penyampaian telah disampaikan sendiri oleh Mudir SeRIA, Ustaz Ahd Ghani. Saya tiba agak lewat sikit walau pun demikian sempat mencatat antara isi penting yang di sampaikan berkaitan dengan amalan di bulan puasa, antaranya :
1. Membaca Al Quran dan mengkhatamkannya.
2. Menyediakan makanan untuk orang yang berbuka, kerana pahala orang memberi makan orang yang berbuka sama dengan orang yang berpuasa tersebut, bahkan tidak kurang sedikit pun.
3. Berumrah pada bulan Ramadhan kerana pahalanya seperti satu kali haji.
4. Menghentikan terus perbuatan yang buruk.
5. Memperbanyakkan doa terutama disaat-saat hendak berbuka kerana itulah waktu yang paling mustajab doanya.
6. Segera berbuka, walau pun di akhir puasa ini kita sudah merasa kuat kalau berbuka lambat.
7. Berdungguh-sungguh mencari lailatulqadar.
8. Mengeluarkan zakat fitrah.

Sabtu n Ahad, 27 & 28 Ramadhan 1429H
Saya akan berbuka di kampung bersama Ayahanda dan Bonda. Maaf di atas kelewatan kami sekeluarga. Namun harap Ayahanda dan Bonda faham kenapa setiap hujung minggu anakanda tidak dapat pulang berbuka di kampung...
Iftar yang tak dapat dilupakan...
Sudah tentu tiap kali Ramadhan ada iftar yang tak dapat saya lupakan dan mungkin tak akan lupa sepanjang hayat, pengalaman beriftar dibumi yang dagang dengan Islam, 23 tahun yang lalu semasa menuntut di University of Southern California(USC), Los Angeles. Pengalaman Ramadhan beriftar bersama bukan setakat pelajar Malaysia tetapi pelajar dari negara lain seperti Arab, Indonesia, China, Vietnam malahan American. Inilah tempat kami berukhuwah dan mengenal budaya masing-masing. Tiap kali Ramadhan Muslim Students Association (MSA) akan booking Norman Topping Student Center (kerana pada masa itu Masjid Umar Al-Khatab masih belum siap dibina) dan kami akan beriftar dan berterawih bersama. Pertama kali saya merasa terkejut kerana tidak sangka syuur Islam dapat dilaksanakan. Kami berbuka dengan kurma dan susu, kemudian bersolat Maghrib. Selepas itu barulah makan berat dihidangkan. Di bulan Ramadhan ini pelajar-pelajar Arab amat pemurah. Setiap malam Ramadhan sudah ada Pak-pak Arab yang sponsor berbuka, kerana mereka tahu besarnya pahala memberi makan orang yang berbuka. Maka satu bulanlah kami pelajar Malaysia tak payah berasap dapur... kecuali untuk sahur, itu pun ada makanan lebih yang boleh dibawa pulang. Kemudian Solat Isya' dan Terawih bersama-sama dengan sedikit Tazkirah. Bila diingat ah... 23 years had passed... Tajribah itu tidak akan dapat dilupakan kerana dibumi itulah saya mula menapak untuk lebih mengenali dan mendekati diri dengan Allah swt...

Day 21 ; Tazkirah Ramadhan

Malam Bonus : 3 Tanda dapat lihat Lailatul Qadar


“SESUNGGUHNYA Kami menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatul al-Qadar. Dan, tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”
(al-Qadr:1-3)
Ramadan, al-Quran dan Lailatul Qadar mempunyai hubungan rapat antara satu dengan yang lain, sebagaimana diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah saw.
Selain dikenali sebagai bulan puasa dan bulan beribadat, Ramadan dipanggil juga bulan penurunan al-Quran (Nuzul Quran), seperti diterangkan dalam firman Allah bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan serta perbezaan (antara yang benar dan yang salah)...” (al-Baqarah: 185).
Pada ayat pertama surah al-Qadar menerangkan al-Quran diturunkan pada Lailatul al-Qadar, iaitu malam kemuliaan dan kebesaran-saling berkait di antara Ramadan, al-Quran dan Lailatul Qadar.
Justeru, dapat disimpulkan Lailatul al-Qadar itu ialah satu malam daripada bulan Ramadan. Tetapi apakah sebenarnya Lailatul Qadar, bila tarikh yang tepat dan apa kelebihannya?
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata ‘lailah’ itu bermaksud malam, manakala al-Qadar ialah ketentuan (nasib, ajal, rezeki dan jodoh pertemuan ditentukan).
“Jadi apabila dirangkaikan sebagai Lailatul Qadar bermaksud Malam Ketentuan dan pada malam ini malaikat diketuai Jibril turun ke bumi. Ada sesetengah mengatakan sebanyak 70,000 malaikat.
“Di sini juga dapat difahami Jibril tugasnya bukan setakat menyampaikan wahyu, bahkan setahun sekali pada Ramadan turun ke bumi,” katanya, sambil menjelaskan maksud ayat 4 dan 5 surah al-Qadr:“Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
Malam al-Qadar disifatkan sebagai malam yang berkat. “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran." (Maksud ad-Dukhan:3)
Disebabkan mulianya malam al-Qadar Rasulullah saw menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan amal ibadat.
Ini diterangkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad saw sabdanya (bermaksud): “Sesiapa menghayati malam al-Qadar dengan mengerjakan solat (dan ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya diampunkan dosanya yang lalu.”
(Hadis sahih, Riwayat Bukhari)
Ibadat lain yang boleh dilakukan ialah membaca al-Quran, berzikir, beristighfar (memohon ampun), bertaubat dan berdoa.
Zamihan berkata, kelebihan malam al-Qadar bermula pada solat Maghrib, seterusnya Isyak (berjemaah) sehingga Subuh dan ibadat yang menjadi pengisian sepanjang tempoh itu bergantung kepada tahap keimanan masing-masing.
Tetapi malam yang berkat itu tidak dinyatakan secara lebih tepat pada hari tertentu. Tujuannya supaya Rasulullah saw dan umatnya memperbanyakkan ibadat dan amal kebajikan sepanjang bulan.
Rasulullah saw sendiri menghayati 10 malam terakhir Ramadan; mengerjakan ibadat (Qiamullail) dan beriktikaf di masjid, untuk menyambut kedatangan malam yang mulia itu.“Nabi mengejutkan kaum keluarga untuk beribadat, Nabi fokus berzikir dan beriktikaf di masjid, tetapi malangnya kebanyakan masjid kita dikunci dan yang boleh digunakan untuk beriktikaf di sudut anjung saja,” katanya.
Dari Aisyah r.a., katanya: “Biasanya Rasulullah saw berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada 10 malam yang akhir (dari bulan Ramadan), berbanding dengan masa lain.”
(Hadis sahih, riwayat Muslim)
Walaupun waktu tepat malam al-Qadar tidak diberitahu, Nabi saw ada memberikan beberapa isyarat mengenai ketibaannya, seperti dinyatakan dalam satu hadis.Dari 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam al-Qadar pada malam ganjil dalam 10 malam yang akhir, dari bulan Ramadan.”
(Hadis sahih, riwayat Bukhari)
Malam yang ganjil ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadan. Dari keterangan hadis menunjukkan malam yang mulia itu berpindah-pindah (tidak statik) dalam lingkungan 10 malam akhir dari bulan Ramadan.
“Jika menurut Syeikh Abdul Qadir Jailani, malaikat akan mengelilingi dunia pada malam al-Qadar dan mengucapkan salam pada orang beriman yang melakukan ibadat.
“Tiga tanda orang yang mendapat ucapan salam malaikat, iaitu bulu roma meremang, mengalir air mata jernih dan hati berasa tenang sekali.
“Ulama mengatakan pada malam itu, kita akan berasa ada malaikat di sekeliling kita. Malaikat masuk ke semua rumah orang beriman, kecuali rumah yang ada berhala, rumah yang menjadi batu api, orang berkekalan dengan dosa besar dan derhaka pada ibu bapa.
“Lailatul Qadar adalah tawaran atau bonus yang paling tinggi daripada Allah untuk manusia, tetapi tidak semua yang dapat disebabkan halangan dari kita sendiri,” katanya.
Beliau menjelaskan, orang yang mendapat Lailatul Qadar ialah mereka yang meningkatkan ketakwaan, hubungan dengan Allah semakin meningkat, malah perangai berubah kepada lebih baik.
“Justeru, dalam kita mengharapkan Lailatul Qadar, seeloknya kita membuat persediaan, bermula dari pencarian ilmu, seterusnya dengan ilmu dapat beramal ibadat dan ibadat itu pula dengan hati ikhlas,” katanya.
(petikan dari email rakan yang di kongsi bersama)

Day 20 : Tazkirah Ramadhan

Di dalam bulan Ramadhan disunatkan beriktikaf. Iktikaf ini memberi kesan yang mendalam dan pengaruh yang memuncak kepada diri orang yang beriktikaf kerana di kala ini dia menjadi tetamu Allah dan langsung membebaskan dirinya dari segala kesibukan duniawi. Di sinilah dia menumpukan sepenuh perhatian untuk taat kepada Allah dan bertakarrud kepadaNya. Di kala inilah dia tidak berhenti berfikir kerana mengingati Allah dengan hati dan mulutnya, mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, berbisik-bisik dengan Allah serta bermunajat kepadaNya, membaca Al Quran, beristigfar kepadaNya, bertaubat kepada Allah dan menangis kerana takut kepadaNya.


Di waktu seperti inilah Allah memuliakan tetamu-tetamuNya dengan melimpahkan Nur dan Hidayah. Apabila mereka keluar dari iktikaf, dari rumah Allah mereka mendapat bekalan taqwa, iman dan hidayah. Ditengah-tengah munajat ini kita dapati Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu tentang Aku, maka (Jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkam permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

(surah Al Baqarah : 186)

(petikan dari... Bekalan Dalam Perjalanan Dakwah, MM)

Day 19 : Tazkirah Ramadhan

Di dalam bulan Ramadhan juga kita digalakkan malah disuruh memperbanyakkan membaca Al-Quran serta menghafalnya dan membacanya di waktu salatullail. Dengan itu kelak kita akan mendapat curahan Nur, hikmah, hidayah, pengajaran dan penawar segala penyakit jiwa dan hati yang tidak mungkin kering. Ini adalah merupakan bekalan yang paling istimewa.
Di dalam bulan Ramadhan itu, orang yang berpuasa akan menunaikan salat Tarawih setiap malam di sepanjang bulan mulia itu. Itu juga satu lagi bekalan yang istimewa. Dengan ini dia membiasakan dirinya beribadat dan bersabar, meneruskan perhubungannya dengan Allah, merasakan pendekatannya kepada Allah dan tunduk khusyuk kepadaNya.

(Petikan dari... Bekalan di Dalam Perjalanan Dakwah, MM)

Aidil Fitri 1431H

Berita Harian : BeritaUtama

BERIKAN SOKONGAN ANDA...

BERIKAN SOKONGAN ANDA...

HULURKAN SUMBANGAN ANDA....

HULURKAN SUMBANGAN ANDA....

At-tarikh

jam UMMI di KUANTAN

jam WALID di JUBAIL

About Me

My photo
I'm Sharifah Faridah Hanim Tengku Embong. A mother of 6 children. Currently as a teacher at SMK Paya Besar, Kuantan.

My School of Fish (Please click if u like 2 feed da fish...)

Warna-warna Kehidupan....

warna-warna hidup mu
mewarnai kebebasan
mencerna keceriaan
mendambakan kegembiraan
menjalari kehidupan samudera
menyusuri rahsia ciptaan Allah
namun
aku tetap kagum
hidup mu tidak pernah lemas
hatta secebis daging mu
tidak pernah terjejas
dek keasinan melaut menyelubungi mu
mampukah kita
menggarap kehidupan ini
seperti mu
untuk terus melangkah
bertahtakan
keimanan dan ketaqwaan

Hamster 'Abbas Punya

Nazirah punya turtle...

Said nak juga...

Merisik Khabar

Liku-liku Kehidupan


  • SK Sultan Sulaiman 2 (1974 - 1979)
  • MRSM K Trg (1980-1984) 3rd Batch
  • LCP, Azusa (1985)
  • Citrus College, Glendora (1986)
  • USC, LA (1986 - 1989) Class of 1989
  • SM Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
  • Sykt Limbongan Timor Sdn Bhd, K Trg
  • Syarikat Amsys Bhd, Penang
  • SM Sultan Ismail, Kemaman
  • SM Vokasional, Kemaman
  • MPKT Batu Rakit (1993 - 1994)
  • SM Vokasional, Kuala Terengganu
  • SM Seri Budiman, Kuala Terengganu
  • SMK Paya Besar, Kuantan

  • Powered By Blogger

    <(o o)>

    Rapuh by Opick

    Detik waktu terus berjalan
    Berhias gelap dan terang
    Suka dan duka
    Tangis dan tawa
    Tergores bagai lukisan

    Seribu mimpi berjuta sepi
    Hadir bagai teman sejati
    Di antara lelahnya jiwa
    Dalam resah dan air mata
    Ku persembahkan kepadaMu
    Yang terindah dalam hidupku

    Meski ku rapuh dalam langkah
    Kadang tak setia kepadaMu
    Namun cinta dalam jiwa
    Hanyalah padaMu

    Maafkanlah bila hati
    Tak sempurna mencintaiMu
    Dalam dada ku harap hanya
    Dirimu yang bertakhta

    Detik waktu terus berlalu
    Semua berakhir padaMu